MENU UTAMA | PENGENALAN | DEFINISI | DALIL | CIRI-CIRI | PUNCA-PUNCA | PUNCA LAIN | KEPENTINGAN |

Friday, September 27, 2019

Definisi Kesantunan Bahasa

    Kesantunan bahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan. Konsep kesantunan berbahasa adalah konsep yang menitikberatkan penuturnya supaya bersopan santun ketika berkomunikasi dengan orang lain. Kesantunan bahasa secara umumnya merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab,memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara kita. Kesantunan bahasa dapat dilihat dari segi aspek verbal dan non-verbal. Melalui aspek inilah kesantunan bahasa akan terserlah.

   Kesantunan berbahasa dari segiverbal merujuk kepada percakapan, lisan, dan pertuturan. Kesantunan bahasa verbal perlu dijaga terutamanya ketika sedang berkomunikasi dengan orang lain, bergurau senda atau menyampaikan maklumat kepada orang lain.

    Manakala, kesantunan berbahasa daripada segi non-verbal pula merujuk kepada perbuatan, ekspresi wajah, dan bahasa isyarat. Konsep kesantunan berbahasa non-verbal ini merujuk kepada semua perlakuan yang tidak menggunakan bahasa lisan untuk menyampaikan mesej yang dapat difahami. Sebagai contoh, non-verbal melalui media cetak seperti surat khabar, majalah, jurnal dan buku. Tidak kira sama ada melalui verbal atau non-verbal, konsep kesantunan berbahasa itu perlu ada pada setiap insan di atas muka bumi ini.

Definisi kesantunan bahasa menurut Kamus Dewan (1984)

    Perkataan “kesantunan” membawa maksud halus budi pekerti, beradab atau sopan. Apabila seseorang itu berbahasa dengan santun, penggunaan bahasa adalah secara halus, nilai rasa yang baik, penuh kesopanan, serta berusaha menghindari konflik antara penutur dengan pendengar dalam proses berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan.


     Kata “bahasa” mempunyai banyak makna, bukan sekadar membawa maksud sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam satu lingkungan atau kelompok manusia tetapi kata “bahasa” juga merupakan simpulan bahasa yang membawa maksud”sopan santun”. Jadi, membicarakan bahasa tanpa menyentuh aspek kesantunan bahasa merupakan satu kelompangan yang tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi bahasa melayu yang mempunyai falsafah kesopanan yang tinggi yang didasarkan oleh falsafah budi dalam masyarakat melayu.

Antara takrifan lain tentang kesantunan bahasa ialah:

  v  Held:
-kesantunan sebagai suatu fenomena bahasa yang boleh dikaji secara empirikal menerusi pemerhatian terhadap komunikasi lisan melibatkan interaksi bersemuka antara penutur dengan pendengar.
  v  Watts et.al:
-Kesantunan ialah perlakuan bahasa yang digunakan untuk mengekalkan keseimbangan hubungan interpersonal dalam kumpulan sosial.
  v  Awang Sarian (2007):
-Kesantunan bahasa ialah penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya.
  v  Siti Hajar Abdul Aziz (2009):
-Kesantunan bahasa ialah cara penggunaan kata dan ujaran secara sopan dan beradab.

     Berdasarkan daripada beberapa pentakrifan diatas, dapatlah disimpulkan bahawa kesantunan bahasa merupakan kata-kata yang sesuai, tidak menimbulkan konflik dan sentiasa menjaga hati dan  air muka pendengar. Orang melayu yang berpegang pada ajaran Islam meletakkan setiap perlakuan dan tindakan sama ada berbahasa atau bukan bahasa sebagai satu nilai suci yang membolehkan manusia mendapat ganjaran pahala selagi perlakuan menjurus ke arah amar makruf nahi munkar. Oleh itu, setiap perlakuan dan penggunaan bahasa yang datang daripada hati yang ikhlas akan diterima sebagai perlakuan yang baik dan bersopan santun.
        

No comments:

Post a Comment